Percutian atau melancong merupakan aktiviti untuk merehatkan diri dan
minda setelah penat bekerja. Untuk melancong mahupun pergi bercuti,
anda perlulah melakukan pelbagai perancangan, termasuk persiapan
belanjawan agar tidak berlaku pembaziran dan memastikan percutian anda
berjalan dengan lancar.
Perancangan kewangan yang rapi dan teliti sangat penting bagi
mengelakkan kekusutan fikiran setelah pulang bercuti. Berikut adalah
beberapa tip yang boleh diamalkan jika anda merancang untuk melancong
atau bercuti, tidak kira di dalam negeri mahupun di luar negara.
MenabungMempunyai tabungan yang mencukupi sangat
penting untuk bercuti. Jika anda mahu merancang untuk bercuti, mula
menabung seawal mungkin. Asingkan duit persiapan percutian ke dalam
tabung khas. Disiplinkan diri anda dan terus fokus pada perancangan
anda.
Pakej promosiApabila memilih untuk bercuti di
luar negara, pilih negara yang mengadakan promosi pelancongan. Tanya
ejen pelancongan tempatan. Selidik terlebih dahulu tempat-tempat menarik
di sesebuah negara, supaya percutian anda diisi dengan aktiviti dan
pemandangan yang memberikan kepuasan percutian yang maksimum. Biasanya
menjelang musim sejuk, negara di Eropah giat mengadakan promosi
pelancongan.
Perancangan percutianSebelum melancong dan
bercuti, anda perlu membuat persiapan diri dan minda dengan perancangan
yang rapi dan teliti. Tentukan dengan betul negara, kota atau tempat
peranginan yang sesuai sepanjang tempoh percutian anda.
Buatlah
pendaftaran di tempat yang akan anda kunjungi. Untuk menjimatkan tenaga,
perbelanjaan dan masa, rancang untuk mengunjungi lokasi menarik
berhampiran dalam sehari. Melalui perancangan itu, anda boleh mengetahui
jenis pengangkutan ke lokasi pilihan dan bayaran tambang.
Bajet semasa bercutiSediakan anggaran
perbelanjaan harian semasa anda bercuti, termasuk kos penginapan, makan,
pengangkutan, dan cenderamata yang akan dibeli. Anggaran perbelanjaan
semasa bercuti adalah satu langkah wajib bagi mengawal perbelanjaan anda
semasa bercuti, terutama jika anda bercuti di luar negara.
Apabila bercuti ke luar negara, anda juga haruslah mengetahui kadar
pertukaran wang negara yang ingin dilawati supaya percutian tersebut
bersesuaian dengan anggaran perbelanjaan anda. Ini juga penting bagi
mengelakkan anda tertipu semasa menukar wang. Mengetahui kadar
pertukaran wang asing memudahkan perancangan perbelanjaan, terutama
ketika membeli-belah.
Tempahan awalIndustri pelancongan banyak
bergantung kepada keadaan ekonomi sesebuah negara serta permintaan
pelancong tempatan atau asing. Oleh itu, adalah lebih baik jika anda
menempah tiket penerbangan atau tiket bas lebih awal, bagi mendapatkan
harga yang murah. Tempahan saat akhir adalah sangat mahal dan merugikan
terutama ketika musim perayaan dan cuti sekolah. Begitu juga dengan
tempahan penginapan. Anda juga haruslah membuat tempahan lebih awal bagi
mengelakkan kesesakan atau sebarang masalah semasa percutian anda.
Bercuti bersama anak-anakJika bercuti bersama
anak-anak, pastikan persiapan makanan dan kelengkapan mereka yang lain.
Jika tempat yang ingin dituju menyediakan kelengkapan dan makanan yang
bersesuaian untuk anak-anak anda, pastikan anda memasukkan keperluan
perbelanjaan ini dalam anggaran perbelanjaan percutian anda. Jika anda
lebih selesa untuk membawa semua kelengkapan anak-anak anda sendiri
semasa bercuti, pastikan anda membawa kelengkapan yang secukupnya dan
harus mempersiapkan diri dan minda anda untuk lebihan tenaga dan
perhatian yang diperlukan untuk mengawasi bagasi yang banyak. Di sini,
perancangan yang rapi juga memainkan peranan yang penting.
PetaSebaik sahaja anda sampai ke destinasi
percutian anda, pastikan anda membeli peta tempat tersebut. Ini akan
memudahkan anda untuk merancang jenis pengangkutan yang sesuai untuk
pergi melawat tempat-tempat menarik yang telah anda tetapkan sebelumnya.
PengangkutanDapatkan maklumat yang mencukupi
mengenai tempat atau negara yang ingin dilawati supaya lebih selesa dan
mudah bergerak serta merancang aktiviti dan tempat yang bakal dilawati.
Pilih pengangkutan yang paling murah serta pemandu pelancong yang tahu
mengenai selok-belok kawasan percutian tersebut bagi mengelakkan anda
daripada ditipu ataupun tersesat.
Apabila anda bercuti di dalam kumpulan atau beramai-ramai, anda
digalakkan menggunakan perkhidmatan teksi kerana ia lebih murah
berbanding bas atau kereta. Justeru, anggaran perbelanjaan percutian
anda dapat diringankan kerana berkongsi dan dibahagikan secara adil
beramai-ramai.
Sarapan percumaManfaatkan sarapan percuma yang
disediakan oleh pihak hotel dan makan hingga kenyang. Jika anda bercuti
di Eropah, makanan di sana adalah mahal. Dengan memanfaatkan sarapan
yang disediakan di hotel, anda boleh mengurangkan lagi perbelanjaan
anda.
Ole-ole/ buah tanganBuat penyelidikan di
internet atau dalam kalangan rakan atau keluarga yang pernah berkunjung
ke tempat percutian yang anda rancangkan. Dapatkan maklumat tentang
kawasan yang menjual buah tangan yang murah. Senaraikan juga semua nama
ahli keluarga dan rakan supaya anda tidak membeli buah tangan secara
berlebihan. Senarai ini membantu anda berbelanja dengan bijak dan secara
adil dan saksama.
Dana KecemasanSimpan 20 peratus daripada
anggaran perbelanjaan percutian anda untuk dana kecemasan. Dana ini amat
berguna jika berlakunya sebarang perkara yang tidak disangka seperti
jatuh sakit dan memerlukan rawatan hospital. Dana ini juga membantu anda
untuk menampung perbelanjaan anda sekiranya anda telah terlebih belanja
daripada anggaran perbelanjaan anda.
Penggunaan wang tunaiSebaik mungkin cuba gunakan
wang tunai untuk membayar perbelanjaan, terutama apabila bercuti di
luar negara. Anda akan dikenakan caj perkhidmatan atau faedah yang
tinggi jika menggunakan kad kredit.
sumber: http://www.fomca.org.my